Takrifan Rasuah Dalam Agama Hindu.

 Takrifan Rasuah Dalam Agama Hindu.

Pendahuluan.

Rasuah ialah satu bentuk pemberian/penerimaan ‘hadiah yang di luar peruntukan perundangan’  yang bertujuan supaya seseorang  tidak mengikut/ melanggar peraturan yang telah ditetapkan melalui peruntukan perundangan. 'Hadiah' itu boleh jadi dalam bentuk wang, barang bernilai, tawaran  (perkhidmatan, pelancongan, jawatan, wanita, arak dll). Rasuah menjadi mangkin (bateri) kepada korupsi.

Pemberian atau penerimaan rasuah merupakan dosa besar dalam agama Hindu. Orang yang mengambil rasuah akan dihukum di neraka. Raja/pemerintah yang mengambil langkah positif dalam menangani gejala negatif seperti rasuah/korupsi akan ditempatkan di syurga dan sebaliknya. Kitab - kitab Hindu sangat jelas dan melarang sama sekali rasuah. Dalam bahasa Sanskrit ia dipanggil ‘lancha’ atau ‘lancham’ dalam bahasa Tamil. 

Tujuan memberi rasuah biasanya kerana seseorang pemberi itu hendak mendapatkan sesuatu yang dia tidak layak sebenarnya atau untuk memintas/memotong peluang/jalan orang yang lebih layak. Selain itu, apabila amalan rasuah sudah parah, seseorang terpaksa memberi rasuah untuk mempercepatkan atau meluluskan apa yang sepatutnya berlaku.

Manakala, tujuan penerimaan rasuah adalah untuk (yang berkuasa dalam hal berkenaan) melanggar peraturan yang termaktub lalu memberi peluang/ruang kepada perasuah. Namun, sekiranya penerima rasuah bekerja secara kolektif, maka rasuah itu menjadi sebahagian daripada ‘peraturan’ tidak formal/peras ugut secara halus dengan tidak melaksanakan/ menyelesaikan atau melambatkan sesuatu yang sepatutnya diselesaikan.

Rasuah paling banyak berlaku melibatkan pentadbiran sesuatu kerajaan namun ada juga berlaku dikalangan swasta. Rasuah dikalangan pentadbiran menjadi isu penting yang perlu ditangani. Jikalau pentadbiran bersih, sudah pasti isu lain terhenti dengan sendirinya.

Kautilya dan Rasuah.

Kautilya (Vishnugupta / Chanakya), penasihat utama kepada Chandragupta Maurya, dalam Arthasastra yang ditulis antara 321-300 SM telah menjelaskan masalah rasuah. Kautilya telah menggariskan 40 jenis rasuah/korupsi yang berlaku dalam sebuah kerajaan. Sifat semulajadi manusia tertarik kepada rasuah, namun  sebab utama ialah nafsu harta (tamak), kelakuan buruk terhadap wanita dan arak menyebabkan ia dimanipulasi untuk rasuah seseorang. Selain itu gaji yang rendah dan perbezaan ketara antara pegawai menyebabkan rasuah. Kautilya telah mencadangkan 11 langkah pencegahan rasuah.

Rasuah dalam Kitab Agama Hindu.

Rasuah disebut dalam kitab-kitab Veda seperti Rigveda, Samaveda dan Yajurveda. Terdapat 99 jenis vritras ( kuasa syaitan/ elemen negatif/ korupsi) yang berkepala seperti hydra berkepala 9, boleh menyerang manusia melalui 5 pancaindera antaranya ialah rasuah. Tanda-tanda rasuah wujud dalam sesuatu pentadbiran ialah apabila seorang rakyat (kematian pertama) mati kerana kebuluran. Ini kerana manusia tidak lagi berpegang kepada tanggunjawab manusia berdasarkan tugas-tugas/profesyen  Chatur Varna yang telah digariskan oleh Brahman/Tuhan. Semua pemakan rasuah ialah pencuri di mata Tuhan, akan mendapat kelahiran semula dalam rahim yang paling hina/busuk (haiwan) selepas tamat hukuman di neraka. Pemerintah seharusnya tidak membenarkan perasuah, pemakan rasuah dan penyokong rasuah berada di kalangan masyarakat yang baik. Mengambil rasuah dalam mendapatkan harta kerajaan ialah penyalahgunaan harta awam.


Menurut Vishnu Purana, orang yang mengambil hadiah yang tidak diperuntukkan dalam perundangan akan dihukum dengan dihumban ke dalam neraka yang dipanggil ‘Adhomukha’ (kepala ke bawah biar dilapah anjing), manakala dalam Vamana Purana pengamal rasuah akan dihumban ke  neraka Vrischikasana (disengat oleh kalajengking) atau neraka Vrkabhaksa (di lapah oleh serigala) untuk jangka waktu yang panjang. Juga dalam Garuda Purana menyebut tentang dihumban ke dalam neraka Tamisra dan Vaitarani.


Dalam Manusmriti, Bab 9, ayat 253 - 259, raja seharusnya menggunakan perisik untuk menyiasat, menangkap dan menghukum pesalah termasuk rasuah, kalau tidak raja akan kehilangan peluang mencapai syurga. Raja juga boleh dihumban ke neraka sekiranya raja tidak menjalankan tanggungjawabnya.


Dalam Thirukural, Bab 18, ayat 171 dan 174 -176, menjelaskan  bagaimana orang yang tamak haloba boleh terlibat dalam gejala yang salah termasuk rasuah dalam usaha memperoleh harta orang. Kural 171, “Amatilah orang yang busuk hatinya yang menginginkan harta orang lain, kejahatannya akan bertambah dan akan memusnahkan keluarganya.” Akibatnya kesalahannya akan bertambah besar melalui masa dan ini akan membawa kepada nama baik keluarganya akan rosak.

Dalam Bhagavad Gita, Bab 16, ayat 21, “ tiga pintu menuju ke neraka ialah nafsu, marah dan tamak,  perlu elakkan ketiga-tiga ini demi menyelamat atma” Sifat tamak akan menyebabkan manusia boleh melakukan kesalahan seperti rasuah akan menyebabkan kesengsaraan.


Bolehkah manusia hidup tanpa rasuah? 

Sebenarnya boleh, manusia boleh elakkan rasuah. Tetapi perlu bersabar menghadapi pelbagai dugaan dan mempunyai keimanan yang tinggi.  Memang sukar  elakkan rasuah apabila majoriti masyarakat dalam kerajaan/pentadbiran mengamalkannya. 

Pengalaman peribadi setiap insan dalam perjalanan hidup yang realiti ini, memang sukar mengelakkan diri daripada manusia yang sudah sangat lama berkubang dalam rasuah. Mahu tidak mahu, keadaan boleh memberi ruang atau memaksa. Adakah rasuah pengaruhi?

Pengalaman rata-rata rakyat apabila berdepan dengan pihak berkuasa, contohnya  semasa mengambil lesen kenderaan, kali pertama gagal, kali kedua gagal, kali ketiga baharu boleh lulus. Selain itu semasa ditahan oleh pihak berkuasa, 'macamana encik' ialah perkataan biasa disebut. Faham-faham atau  tidak faham, adakah rasuah terlibat? Dan macam-macam lagi.

Pengalaman saya semasa membeli rumah, siap tandatangan perjanjian jual beli. Wang pinjaman dibayar oleh bank 80% kepada pemaju. Tetapi tiba-tiba didapati projek tiada kelulusan, hanya diketahui apabila disiarkan dalam akhbar… Salah siapa? Perjanjian jual beli lengkap, arkitek bangunan lulus, pinjaman bank lulus, peguam bank dan peguam pemaju luluskan (yuran di bayar pembeli),  pihak berkuasa tempatan tidak tahu tentang projek tidak  luluskannya padahal bangunan sudah naik setinggi 26 tingkat, boleh di lihat dari beberapa kilometer jauhnya. Semua yang terlibat selamat dan mangsa ialah pembeli rumah. Salah siapa? Adakah rasuah di belakang tabirnya?

Kesimpulan.

Pemberi rasuah, penerima rasuah dan yang menyokong perasuah, ketiga-tiga mereka berdosa. Rasuah bukan sahaja menghalang spiritualisme individu, malahan boleh merosakkan generasi 7 keturunan. Makanan yang diperolehi daripada rasuah sudah pasti penuh dengan sumpahan laknat mangsa yang terjejas. Hentikan budaya rasuah. Hanya individu itu sendiri yang harus sedar dan elakkan diri daripada rasuah. Gejala rasuah ini, salah siapa? Rasuah boleh menghancurkan sesebuah negara. 


Om Namasivaya.

Sivasiddhi

Sivasiddhi Spiritual Foundation.

3 Julai 2021




Rujukan

1.https://www.holy-bhagavad-gita.org/chapter/16/verse/21

2.file:///C:/Users/user/Downloads/Dialnet-CorruptionPreventionMeasuresRecommendedByKautilya-5575885.pdf

3.http://intellibriefs.blogspot.com/2011/01/what-vedas-say-about-corruption.html

4.https://www.lawyersclubindia.com/forum/what-vedas-say-about-corruption--27890.asp

5.https://www.sacred-texts.com/hin/rigveda/index.htm



Comments

Popular posts from this blog

Ahmad Iqram, Anda Berdosa kerana Menghina Agama #1.3

Hak Penukaran Agama Minor dan Perlembagaan Persekutuan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Mentakrifkan Keesaan Tuhan Sembahan Orang?