Hak Penukaran Agama Minor dan Perlembagaan Persekutuan

 Hak Penukaran Agama Minor dan Perlembagaan Persekutuan (PP)


Penukaran agama dikalangan minor (umur di bawah 18 tahun) tidak menjadi isu sejak merdeka (1957) sehingga tahun 2002, tetapi ia menjadi satu isu besar yang membawa ketegangan dikalangan penduduk Malaysia terutamanya orang Islam dan bukan Islam. Sentimen perkauman dan agama dijadikan polemik politik oleh sekumpulan manusia. Masalah ini bukan baharu, telah menghantui pemikiran, perasaan dan emosi rakyat negara ini terutamanya bukan Islam lebih 20 tahun. Polemik rebutan hak penjagaan anak dan agama menjadi masalah utama, pada hal Perlembagaan telah menggaris dengan jelas bahawa hak bersama ibu dan bapa. Masalah ini muncul pada 2002 disebabkan penggunaan Teks terjemahan Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara menjamin hak semua orang, agama dan lain-lain dengan sebaiknya dan setara. Semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang. Perkara 8 (1) menyatakan “semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. Maka di sini tiada seorang boleh diketepikan hak perundangannya, semua warganegara samada lelaki atau wanita harus mendapat pengadilan yang sama bagi kes yang sama. Menukar agama minor secara unilateral akan mengenepikan atau menghalang keadilan/hak perundangan kepada seorang lagi. Keadaan ini akan bercanggah dengan perkara 8.



Kedudukan Semua Agama Terjamin.

Perlembagaan Persekutuan amat jelas mengenai Kedudukan dan keterjaminan semua agama. Perkara 3 mengenai Agama bagi Persekutuan. Perkara 3 (1) menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Walaupun agama Islam ialah agama Persekutuan, tiada agama yang boleh dipandang rendah kedudukannya berbanding agama lain. Namun ada pihak yang cuba membelakangkan perlindungan perundangan terhadap penganut agama tertentu, terutamanya kedudukan kanak-kanak di bawah umur apabila timbul isu antara ibu dan bapa, dimana salah seorang memeluk Islam. PP sangat jelas, Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibubapa untuk tukar agama.


Hak Agama Seseorang.

Setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan  keatas mempunyai hak kebebasan tersendiri dalam mengamalkan agama masing-masing (kecuali di kalangan penganut Islam mengikut peruntukan tertentu/undang-undang syariah), di mana-mana bahagian Persekutuan. Manakala warga negara yang berumur di bawah 18 tahun harus mengikuti amalan ibu bapa masing-masing. Kanak-kanak tiada suara dalam hal ini. Sebarang pertukaran agama harus berlaku secara persetujuan kedua-dua ibubapa. 


Perkara 3 merujuk kepada Agama bagi Persekutuan. Perkara 3 (1) menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Manakala Perkara 11 ialah mengenai kebebasan beragama. Perkara 11(1) menyatakan bahawa “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya”. Maka di sini jelas bahawa anutan, amalan dan penyebaran sesuatu agama terjamin kebebasannya.


Disamping itu Perkara 12 (teks PP Bahasa Melayu) pula menggariskan hak berkenaan dengan pendidikan. 

Perkara 12 (3) menyatakan "tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri”. Dan Perkara 12 (4) menyatakan  “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya”. 

Ini merujuk kepada hal pendidikan agama dan bukan mengenai penukaran agama anutan. Misalnya seseorang kanak-kanak tidak boleh diajar atau diarah untuk terlibat dalam agama lain selain daripada agamanya kecuali melainkan persetujuan ibu bapa atau penjaganya (sekiranya telah diputuskan melalui undang-undang). Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang beragama kristian tidak boleh diajarkan agama Islam melainkan mendapat persetujuan ibubapanya.


Anak Milik Kedua-dua Ibu bapa.

Anak yang lahir hasil perkongsian sesuatu perkahwinan sah seharusnya milik bersama. Namun ada pihak cuba mengenepikan pihak satu lagi kerana agenda tertentu. Masalah ini bukan baharu, telah dibiarkan tanpa mencari penyelesaian lebih 20 tahun. Polemik rebutan hak penjagaan anak dan agama menjadi masalah utama, pada hal Perlembagaan telah menggaris dengan jelas. Perlembagaan telah mentakrifkan hak terhadap anak, dimiliki oleh kedua-dua ibu bapa yang menurut perundangan perkahwinan sivil (LRA/ Marriage and Divorce). Sebarang pertikaian samada agama, hak penjagaan anak dll. perlu diselesaikan di Mahkamah Sivil sahaja.


Agama Anak Ditukar oleh Satu Pihak.(Unilateral Conversion)

Menukar agama minor secara unilateral akan mengenepikan atau menghalang keadilan/hak perundangan kepada seorang lagi. Pada pendapat saya, Perkara 12 (4) diterjemah secara salah/ bersifat prejudis seterusnya menyebabkan pentafsiran yang bercanggah dengan maksud asal, kemudian digunakan sebagai alasan kukuh untuk menghalalkan penukaran unilateral. Keadaan ini salah dan akan bercanggah dengan perkara 8. Hanya dalam kes Puan Indira Gandhi penukaran unilateral diputuskan  sebagai salah/ unconstitutional yang merupakan maksud yang asal PP. Keputusan kehakiman ini memberi/menjadi nafas baharu bagi menegakkan keadilan.


Lima Kes yang Mencabar.

Masalah terbaharu (tersiar Februari 2022) ialah kisah Puan Loh Siew Hong dan 3 orang anaknya (berlarutan sejak 2019). Sebelum ini kisah Puan Indira Gandhi dan 3 orang anaknya (sejak 2008), Puan S.Deepa dan 2 orang anaknya (2012), Puan R.Subhashini dan 2 orang anaknya (2006), Puan S.Shamala dan 2 orang anaknya (2002), kesemua isunya ialah anak/anak-anak mereka ini ditukar agama tanpa pengetahuan ibu-ibu mereka oleh suami/bekas suami setelah tukar agama mereka kepada Islam. Perkara ini berulang-ulang tanpa kesudahannya. Dalam kes-kes ini keputusan mahkamah pula berbeza-beza di peringkat mahkamah berbeza.

  1. Puan Loh Siew Hong dan 3 anaknya,- ibu dibelasah parah dengan tukul, 27 jahitan di kepala, kaki dipatah oleh suami (penagih dadah / Mac 2019), Masuk hospital dan rumah kebajikan wanita sehingga sembuh. Suami membawa anak-anak memisahkan daripada ibu kemudian masuk Islam dan Islamkan 3 anaknya dengan memberitahu bahawa tidak tahu isterinya dimana, kemudian masuk penjara kerana dadah, anak-anak dijaga oleh Pn.Nazirah. Loh berjaya dapat notis cerai dari Mahkamah sivil (Mac 2020). Mencari anak-anak hampir 3 tahun, 9 Laporan polis telah dibuat. Hak penjagaan kepada ibu oleh mahkamah sivil (2021). Mengesan anak di Perlis (Jan 2022), jumpa anak-anak di balai Polis, JKM menjaga sementara kemudian melalui Habeas Corpus diserah kepada Pn.Loh (Feb 2022). Status agama anak-anak masih Islam menurut rekod di Perlis (rekod JPN masih Hindu), tidak selaras dengan PP, status akhir belum diputuskan lagi di Mahkamah Sivil (Feb 2022, unilateral conversion belum diputuskan)

  2. Puan Indira Gandhi,- suami 'hilang', kemudian didapati memeluk Islam (11/3/2009), 3 anaknya diIslamkan (2/4/2009), Isu 2 perintah mahkamah berbeza, suami dapat hak penjagaan anak melalui Mahkamah Syariah (8/4/2009), hak penjagaan kepada ibu melalui Mahkamah Sivil, status agama 2 anak telah diputuskan Hindu (2018, unilateral conversion unconstitutional/ tidak sah). Seorang anak diculik (bayi menyusu berumur 11 bulan kini 13 tahun). Hanya sejak/dalam kes "M.Indira Gandhi", Mahkamah Persekutuan telah memutuskan - dalam penghakiman bahawa perkataan " parent" di Artikel 12 ( 4 ) PP itu melibatkan kedua-dua ibu bapa kanak -kanak bawah umur itu selagi mana kedua-dua mereka masih hidup.

  3. Puan S.Deepa,- suami masuk Islam (2012), tukar agama anak-anak, Isu 2 perintah mahkamah berbeza, hak penjagaan kepada bapa diberi oleh Mahkamah Syariah manakala kepada ibu oleh mahkamah sivil (2014). Seorang anak dikatakan diculik, status agama anak tidak diputuskan dengan jelas (unilateral conversion partly constitutional?). Seorang anak diberi kepada ibu dan seorang anak kepada bapa atas kehendak anak (2016).(pendapat anak-anak diambil kira)

  4. Puan R.Subhashini,- suami dan anak sulung masuk Islam (Mei 2006), menuntut cerai dan hak penjagaan anak melalui Mahkamah Syariah (Julai 2006), Subhasini fail tuntutan di Mahkamah Sivil (Ogos 2006) tetapi ditolak (September 2006), seorang anak kekal Islam (unilateral conversion constitutional, A12.4, 'parent' ditafsir sebagai ibu atau bapa),dan menetapkan Mahkamah Syariah tidak boleh batalkan perkahwinan Sivil. (2007)

  5. Puan S.Shamala,- suami masuk Islam (2002), hak penjagaan kedua-dua anak kepada bapa melalui Mahkamah Syariah (2003), Ibu cuba untuk dapat hak melalui Mahkamah Sivil (2004) tetapi diberi hak bersama ibu dan bapa tetapi ibu tidak boleh ajar agama Hindu/ diberi makan babi, anak kekal Islam (unilateral conversion constitutional, A12.4), Shamala larikan anak-anak ke Australia. (2010, Mahkamah menolak untuk  menjawab 5 persoalan perlembagaan oleh beliau, 2011, ibu tidak mahu lanjutkan kes hak penjagaan)

Perkara 12 (4) yang ditafsir mengikut keadaan dan budi bicara seseorang hakim menyebabkan keputusan yang berbeza bagi kes-kes yang sama di peringkat mahkamah yang berbeza. Sejak/Pada 2018, dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan (Mahkamah tertinggi) telah membuat ketetapan bahawa 'parent' merujuk kepada ibu dan bapa. Maka semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah tinggi ini. Sebenarnya tiada masalah dalam pentafsiran klausa artikel ini sejak merdeka 1957, masalah hanya bermula sejak 2002 apabila teks versi Bahasa Melayu mula digunakan.


--------------

Pulangkan Prasana Diksa kepada Ibunya, Puan Indira Gandhi. Salah sebuah keluarga yang menjadi mangsa penukaran agama unilateral. Kasih sayang ibu yang hilang bertahun (13 tahun), tidak boleh diganti semula oleh sesiapa pun...


Pulangkan Prasana Diksa kepada Ibunya.
-------------------

Sifat Ketertinggian Perlembagaan. 

Undang-undang yang paling tinggi, mana-mana undang-undang yang lain atau yang  kemudian akan terbatal setakat mana ia berlawanan, jelas termaktub dalam Perlembagaan. Perkara 4 dibawah amat jelas. Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan. 4 (1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu. Selain itu, Perkara 75 juga merujuk kepada Ketidakselarasan antara undang-undang persekutuan dengan undang-undang Negeri. “Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu”

Ini bermaksud sebarang undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan akan terbatal secara automatik, samada ia di peringkat negeri atau undang-undang lain.


Beberapa isu perlu diteliti supaya ketertinggian perlembagaan persekutuan tidak tergugat.

a.Kemelut Teks Bahasa Melayu (Terjemahan) Mengatasi Teks Bahasa Inggeris (Asal).

Namun wujud kemelut dalam pentafsiran undang-undang atau ada perubahan dalam maksud perundangan apabila teks bahasa Inggeris (asal) diterjemah kepada teks terjemahan bahasa Melayu/Malaysia. Ia menjadi rumit apabila Perkara 160(B) digubal/ditambah untuk meletakkan teks terjemahan sebagai Teks sahih. “Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu. (berkuat kuasa dari 28-09-2001). Perkara 160(B) secara tidak langsung telah merendahkan kedudukan teks asal dan ia berlawanan dengan ciri ketertinggian perlembagaan. 

Sebagai satu perbandingan dengan kitab agama, contohnya Kitab Islam/ al Quran. Asalnya al Quran diturunkan (wahyu) dan dikitabkan dalam bahasa Arab, kemudian diterjemahkan kepada pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu. Adakah sesiapa boleh klaim atau menfatwakan kitab terjemahan itu sebagai mengatasi Kitab Arab yang asal? Saya percaya dan pasti tiada sesiapa pun yang waras boleh menerima perkara ini. Maka mengagungkan/meletakkan teks terjemahan lebih tinggi/atas daripada teks asal merupakan suatu kesilapan besar.


b.Perkara 160 (B) Tidak Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 160 (B) ini  digubal selepas merdeka, maka ia juga bertentangan dengan perkara 4 sekiranya berlawanan dengannya. Peruntukkan perkara 160 (B) secara terang/ absolutely  menolak ketertinggian teks asal PP kerana meletakkan teks terjemahan lebih tinggi. Perkara 160 (B) ini perlu dikaji semula dan mengambil langkah perlu dengan kadar segera.

Maka dalam keadaan/ keinginan apa, teks bahasa Melayu Perlembagaan boleh menjadi lebih tinggi daripada teks bahasa Inggeris yang asal? Saya percaya perkara ini perlu disiasat dan melakukan apa yang patut. Selain itu, Artikel 160(B) tidak boleh berdiri sendiri. Sekiranya terjemahan Perlembagaan tertinggi dilakukan sepenuhnya di luar Parlimen dan tanpa persetujuan Persidangan Raja-Raja dan Yang Dipertua Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 159 dan 161(E), maka ia akan terbuka untuk cabaran perlembagaan.

Sekiranya terjemahan yang ditentukan di bawah Artikel 160(B)  melanggar

hak asasi atau pembahagian kuasa persekutuan dan negari, terutama hak Sabah dan

Sarawak, atau jika ia melakukan kekerasan terhadap salah satu topik yang

termaktub dalam Artikel 159 (5), kesahannya akan dipersoalkan.

Bahasa  Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan isu disini, ia lebih kepada pentafsiran undang-undang, sebagaimana pentafsiran kitab yang salah boleh memudaratkan akidah, begitu juga pentafsiran perundangan yang salah boleh memudaratkan/melemahkan negara.


c.Kuasa Semakan Kehakiman (Judicial Review) Milik Mahkamah Sivil.

Kuasa semakan kehakiman ialah hak mutlak perlembagaan persekutuan, milik mahkamah sivil bukan mahkamah syariah. Ini dapat mengekalkan kedudukan Perlembagaan persekutuan sebagai undang tertinggi negara. Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan membatalkan kuasa semakan kehakiman Mahkamah Syariah (Seksyen 66A, Pentadbiran agama Islam Negeri Selangor, Enakmen 2003) dalam kes Sisters In Islam (SIS), oleh Ketua Hakim Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Ini menunjukan ketertinggian perlembagaan persekutuan.


d.Agama Dalam Senarai Negeri.

Ada juga pendapat bahawa agama jatuh dalam bidangkuasa Negeri, maka Persekutuan tidak harus campurtangan. Memang benar, Persekutuan tidak campurtangan tetapi sebarang peruntukan yang digubal tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini sangat penting bagi mengekalkan sifat ketertinggian perlembagaan.



Kemelut Tafsiran Perkara 12 (4)

Maksud sesuatu perkara boleh berbeza akibat daripada terjemahan, pentafsiran dan ketinggalan perkataan/frasa tertentu. 

Masalah timbul apabila diterjemahkan secara literal, maksud mula berubah dan ia membawa kepada tafsiran berbeza. Dan masalah pentafsiran juga akan berbeza berdasarkan teks terjemahan, pengalaman dan pengetahuan seseorang membawa kepada maksud yang menyimpang. Dan masalah terlepas pandang atau tidak melihat/ignore perkataan/frasa tertentu.

Ini mungkin menyebabkan keputusan berbeza antara kes Loh Siew Hong dan Indira Gandhi berbanding Subhashini dan Shamala manakala Deepa dalam keadaan tidak menentu. Bagaimanapun keputusan mahkamah harus diakur.


Teks Bahasa Inggeris (Asal)

PP 12 (4) “For the purposes of Clause (3) the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent or guardian.” 


Teks Bahasa Melayu (Terjemahan)

 PP 12 (4) “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya”


Dua  isu perlu diberi perhatian dalam perkara 12(4) iaitu terjemah dan menafsir perkataan ‘parent’ dan ‘his’, dan ketertinggalan/ tidak dibaca bersama frasa ‘For the purposes of Clause (3)’.

a. Penterjemahan dan Pentafsiran perkataan Secara Literal Tidak Boleh.

Perkataan ‘parent’ diterjemah kepada ibu atau bapa secara literal/linguistik maka tafsirannya secara ‘jelas’ merujuk kepada salah seorang ibubapa sudah memadai. Tetapi sekiranya tafsiran hanya berdasarkan literal, maka perkataan ‘his’ hanya merujuk kepada gendar lelaki sahaja. Dengan itu, adakah perkara 12(4) hanya merujuk kepada anak-anak lelaki sahaja? Adakah anak-anak perempuan tidak termasuk? Oleh itu sekiranya tafsiran merujuk secara literal ia akan membawa konflik lain yang lebih besar, keadaan ambiguiti dan membawa kepada penyimpang maksud yang lebih besar. Maka terjemahan dan tafsiran secara literal tidak boleh digunapakai dalam hal tafsiran perlembagaan.

b. Perlembagaan Persekutuan Sudah Ada Arahan Khusus Pentafsiran.

Perkara/ masalah ambiguiti ini telah dijelaskan/dinilai dengan baik dalam perlembagaan ini. Merujuk kepada Jadual 11, Seksyen 2 (94) Pentafsiran jantina lelaki (perkataan yang membawa maksud jantina lelaki termasuklah perempuan/ Construction of masculine gender— words importing the masculine gender include females) dan 2 (95) Pentafsiran bilangan tunggal atau jamak (perkataan dalam bilangan tunggal termasuklah bilangan jamak, dan perkataan dalam bilangan jamak termasuklah bilangan tunggal/ Construction of singular or plural— words in the singular include the plural, and words in the plural include the singular). Maka disini jelas perkataan ‘parent’  boleh juga ditafsir sebagai ‘parents’ dan dalam hal melibatkan anak-anak hasil daripada perkahwinan Sivil yang sah seharusnya melibatkan kedua-dua ibubapanya.

Sekiranya perkara yang melibatkan seorang ibu atau bapa sahaja, perlembagaan juga telah meletak frasa yang jelas, supaya tiada unsur ambiguiti. Sebagai contohnya boleh dirujuk Bahagian 2, [Perkara 14 (1) (b)] (a) ada disebut frasa ‘whose parents one at least’  dan Bahagian 3, [Perkara 31] 17 ada frasa ‘a person‘s father or to his parent, or to one of his parents’, maka perkataan atau frasa  samada ia melibatkan satu orang atau dua orang yang jelas telah digunakan untuk tujuan spesifik itu. Dalam perkara 12 (4) tiada perkataan/frasa spesifik seperti ini. Berdasarkan penjelasan dan rujukan perkataan atau frasa ini, adalah  sangat jelas menyatakan tafsiran perkataan ‘parent’ seharusnya merujuk kepada kedua-dua ibubapa.

c. Ketertinggalan/ tidak dibaca bersama frasa.

Perkara 12(4) seharusnya dibaca bersama perkara 12(3) bagi mendapat tafsiran yang sempurna. Sekiranya 12(4) dibaca secara berasingan, pentafsiran boleh merujuk kepada penukaran agama anak-anak bawah umur. Tetapi apabila ia dibaca bersama 12(3), ia lebih merujuk kepada pendidikan agama, perkara ini telah ditekankan dalam 12(4) itu sendiri, iaitu frasa ‘Bagi maksud Fasal (3)’. Seorang kanak-kanak yang hendak diajar/belajar atau mengamalkan  ritual agama lain daripada agama sendirinya perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa. Maka ia bukan mengenai penukaran agama. Perkara 12(4) tidak boleh dirujuk dalam kes penukaran agama secara spesifik.



Permainan Politik atau …

Sejak 2002, Menteri Undang-undang, samada DS Nazri (2009) atau DS Azalina (2016) tidak mengambil sebarang usaha untuk mencari penyelesaian. Dan menyatakan tiada  penyelesaian untuk masalah tukar agama unilateral kecuali melalui penggubalan undang-undang di Parlimen atau keputusan mahkamah. Ada percubaan untuk menggubal peruntukkan  88A, (anak-anak kekal dalam agama asal sekiranya salah seorang daripada ibubapa bertukar agama), namun digugurkan pada saat terakhir. Saya percaya perlembagaan tiada masalah tetapi hanya diterjemah secara literal/prejudis oleh mereka yang ada keperluan. Manakala keputusan mahkamah apex kes Indira Gandhi (2021) telah mengesahkan kedudukan keperluan persetujuan kedua-dua ibubapa.


Kesimpulan.

Perlembagaan Persekutuan amat jelas dan menjamin semua warganegaranya dengan sebaiknya. Hanya penterjemahan (sejak 2001) dan pentafsiran selepas itu telah menyimpangkan maksud daripada tujuan asal perlembagaan. Teks asal Bahasa Inggeris harus menjadi rujukan muktamad. Mana-mana undang-undang yang berlawanan dengan perlembagaan memang terbatal secara automatik dan harus digubal segera sekiranya ia tidak selaras dengan perlembagaan terutamanya Perlembagaan Negeri dan lain-lain undang-undang Adat.


Ini bukan pendapat saya sahaja sebagai ahli akademik, malahan pakar perundangan seperti Datuk Prof. Shad Saleem Faruqi dan banyak lagi  yang mengetahui kebenaran Perlembagaan Persekutuan. Di peringkat Parlimen, samada kuasa Eksekutif, Perundangan atau Kehakiman perlu mengambil langkah sewajarnya untuk membetulkan keadaan.


Pertukaran agama unilateral telah menegangkan hubungan antara kaum kerana ia melibatkan agama. Setiap penganut agama sangat mementingkan 'akidah' masing-masing menurut kitab mereka, penukaran agama melibatkan akidah, ini menyebabkan perpaduan tergugat. Perpaduan antara rakyat ialah kunci survival Malaysia kata Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri, marilah jaga Sifat Ketertinggian Perlembagaan demi negara tercinta ini.


Om Namasivaya

Sivasiddhi

Sivasiddhi Spiritual Foundation

23 Februari 2022


Penulis ialah Pensyarah Sambilan  di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

Boleh dihubungi dengan email sivasiddhi1082@gmail.com atau hp. 01123508108


Terimakasih diucapkan kepada Puan Kasthuri Krishnan, Peguambela dan Peguamcara, Co-opted Council Member of Malaysia Hindu Dharma Mamandram, dalam menasihat dan membantu penyelidikan.


 

Rujukan


  1. Federal Constitution. Teks Bahasa Inggeris. https://www.jac.gov.my/spk/images/stories/10_akta/perlembagaan_persekutuan/federal_constitution.pdf

  2. Perlembagaan Persekutuan. Teks Bahasa Melayu. https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf

  3. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2018/01/30/other-cases-of-unilateral-child-conversion/1565215

  4. Datuk Prof Shad Saleem Faruqi opines Perlis religious authorities may have been ‘ill-advised’ on case.  Published on 18 Feb 2022 11:10PM

https://www.thevibes.com/articles/news/54576/federal-constitution-supersedes-state-laws-expert-on-kids-alleged-unilateral-conversion

  1. Law Reform (Marriage and Divorce)  Act . http://jafbase.fr/docAsie/Malaisie/Mariage&Divorce.PDF

  1. Apex court: Selangor Syariah High Court has no judicial review powers

https://www.theedgemarkets.com/article/apex-court-selangor-syariah-court-has-no-judicial-review-powers

  1. Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors and other appeals, [2018] 1 MLJ 545

  2. Conversion and Disability of Our Highest Law. http://cintaimalaysiaku.blogspot.com/2019/04/conversion-and-disability-of-our.html

  3. Syed Farid Alatas, Islamic Scholar, National University of Singapore https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/02/22/unilateral-conversions-wrong-by-any-moral-standard-says-don/


  4. Diary of Prasana by Norhayati Kaprawi. https://www.facebook.com/yatikpw/videos/10162002100870371






Comments

Popular posts from this blog

Ahmad Iqram, Anda Berdosa kerana Menghina Agama #1.3

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Mentakrifkan Keesaan Tuhan Sembahan Orang?